Tuesday 6 October 2015

BENDANG RAMBUTAN DAN SUNGAI MATI.


Bendang sungai mati dan pokok rambutan biji (bute) mengingat kan aku bendang tua kami walaupun di bendang tu ada sekebun rambutan lain namun rambutan bute juga menjadi nostalgia untuk aku kenangi. Walaupun buah rambutan ini tak lekang isinya tapi rasa buahnya tak pernah aku lupakan. Aku masih ingat bertapa susahnya kami nak panjat pokok rambutan itu kerana keadaan pokok yang sangat besar. namun selepas kami dapat menaiki cabang pertama pokok rambutan tu kami akan boleh menjelajah keseluruh pokok rambutan tersebut kerana keadaan dahannya yang bercantum dan masa inilah kami akan memakan buah nya sampai kenyang di atas pokok sambil menyanyi sakanle dua tiga beradik kami.

Bendang tua itu juga mengingatkan aku sungai mati yang juga telah di jadikan bendang oleh bapa ku, ianya sangat dalam berbanding di kawasan kawasan bendang yang lain dan apa yang istimewa tentangnya ialah kedapatan banyak ikan di dalamnya .Selalunya di musim buat bendang kami akan membuat pancing pelampung untuk menangkap ikan yang banyak di dalamnya. apa yang menyeronokan bila sahaja pancing itu mengena ia akan membawa lari pelampung itu kesana kemari dan di masa inilah kami akan terjun ke sungai mati dan berenang untuk mengejarnya. Dan hasilnya tentulah memuaskan bergantung kepada kelajuan ikan membawa lari pelampung itulah kami boleh mengagak jenis ikan dan berapa besar hasil tangkapan kami.

Bendang tua itu juga mengingatkan saya sebuah bukit di sebelahnya walaupun bukit itu tiada sebarang tanaman utama namun ianya menjadi kenangan kepada saya kerana di kemuncaknya kedapatan banyak pokok-pokok nenas dan di kaki bukitnya pula kedapatan pokok kekabu dan jambu batu. kami selalu kerabat bukit ini untuk mengutip buah kakau dan memanjat pokok kekabu serta jambu itu sambil bermain macam macam permainan dan segalanya masih boleh saya bayangkan dan saya tidak pernah melihatnya lagi selepas mak tidak lagi mau mengerjakan bendang tersebut selepas berpindah ke kampung baru. Akhirnya s bapa telah menjual tanah tersebut kepada saudara terdekat kami di kampung.

Bendang itu juga mengingatkan saya bagaimana kami akan mengikut terekta dan menangkap ikan yang terpancung oleh jentera tersebut semasa kerja-kerja membajak dan sesuatu yang tak boleh saya lupakan ialah terdapat satu telaga besar ditengah- tengah bendang tersebut dan kami selalu menimbanya selepas musim menuai. Ingatan saya juga tak pernah luput bila saat ibu mencabut semaian padi atau masa nak menyemai kami akan berkubang sakan di bendang tersebut dan bermain dengan batang pisang perata tapak semaian padi ibu saya. Segalanya masih jelas dan tak mungkin dapat saya hapuskan dari ingatan saya dan bendang itulah menjadi sumber rezeki bapa saya dan hasilnyalah dapat menampung makan minum kami sekeluarga dan menyekolahkan kami sehingga dewasa.

Satu peristiwa di bendang yang tak mungkin saya luppakan sehingga kini ialah bilamana bapa saya mengajak saya memukul padi saya telah menguap ketika kerja-kerja memukul padi dijalankan dan ini mengakibatkan bapa telah menghalau saya balik kerana pada angapannya saya ni pemalas kerana dalam keaadaan melakukan kerja sebegitu keras saya masih boleh mengantuk. Saya juga tak boleh lupakan dangau bendang di mana saya dan adik beradik selalu bergendang dan menyanyi untuk membuat bising bagi menghalau burung ciak trit dari turun ke sawah memakan padi namun hakikatnya bila bapa atau mak datang beribu-ribu burung sedang enak membaham padi sambil di iringi kumpulan muzik kami.

Bapa selalu memarahi kami kerana membuat kerja sambil lewa katanya. Tapi itulah hakikatnya bebudak mereka lebih banyak bermmain dari untuk serius bekerja. Bercerita hal padi ini saat yang paling saya malas ialah untuk menumbuk padi bagi menjadikanya beras kerana bila kerja ini mula di jalankan sudah barang tentu segala kegiatan bermain kami juga akan terhenti. mana tak boring.

No comments:

Post a Comment